Monday, August 6, 2012
Sunday, August 5, 2012
TIADA SEBAB TENTANG PENSWASTAAN PELABUHAN PULAU PINANG
Tiada sebab tentang penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ekonomi@utusan.com.my
ekonomi@utusan.com.my
"SAYA pun hairan juga mengapa banyak pihak yang menentang (penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang) sedangkan kami, Kesatuan Pekerja-Pekerja Pelabuhan Pulau Pinang bukan sahaja menyokong tetapi mengalu-alukannya," demikian kata Anuar Omar selaku Presiden kesatuan itu ketika ditanya mengenai pemilihan Seaport Terminal Sdn. Bhd. yang menjadi pemilik baru Pelabuhan Pulau Pinang.
Mungkin kehairanan Anuar berasas kerana sebelum ini tiada sesiapa, sama ada individu atau organisasi yang peduli dengan nasib dan masa depan Pelabuhan Pulau Pinang. Tetapi sejak Seaport Terminal Sdn. Bhd. (Seaport Terminal) diumumkan sebagai pemilik baru, muncul pelbagai pihak yang mendakwa prihatin dengan pengambilan alih itu.
Pelbagai isu direka untuk menggagalkan rancangan penswastaan pelabuhan bersejarah yang sudah mencecah 220 tahun itu. Dari isu pemilihan Seaport Terminal, penstrukturan, anti persaingan dan perpindahan kren.
Ini belum lagi dikira isu kenegerian yang juga diselitkan sebagai agenda untuk mempertahankan agar Pelabuhan Pulau Pinang daripada dijual kepada syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Macam tidak masuk akal apabila pengambilalihan itu dibantah hanya kerana mahu mempertahankan pelabuhan itu daripada dikuasai oleh bukan anak Pulau Pinang.
Isu yang dibangkitkan itu jelas menunjukkan mereka tidak mengetahui bahawa saranan kerajaan supaya 30 peratus pengambilan pekerja pelabuhan perlu diisi oleh warga Sabah dan Sarawak sebagai integrasi nasional.
Isu-isu yang ditimbulkan nampak remeh jika dibanding dengan hutang yang ditanggung oleh Penang Port Sdn. Bhd., selaku pemilik Pelabuhan Pulau Pinang sejak 1995. Itu belum masuk isu kelangsungan operasi pelabuhan itu yang semakin susut keuntungan dan kemampuannya untuk terus bersaing dengan pelabuhan-pelabuhan lain.
Menilai isu ini secara mendalam, tidak salah jika ditafsirkan pengambilalihan Pelabuhan Pulau Pinang sengaja dibesar-besarkan atas kepentingan politik semata-mata. Mereka yang memperjuangkan isu berkenaan tidak mampu melihat masa depan lebih 1,600 pekerja pelabuhan itu dengan pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh pelabuhan berkenaan.
Seorang pemerhati industri mengakui pemilikan pelabuhan itu tidak akan menjadi isu atau dipolitikkan sekiranya Pelabuhan Pinang diambil alih oleh Hutchinson Port Holdings atau Dubai World.
Berikutan itu, isu-isu remeh yang memperlihatkan kedangkalan mereka terus dicanang, sehingga langsung tidak nampak keupayaan, kepakaran dan ketokohan Seaport Terminal dalam industri pelabuhan di Malaysia dan di dunia.
Mereka yang membuat polemik itu lupa, Seaport Terminal juga menguasai Pelabuhan Pasir Gudang yang diambil alih pada 1995 dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)10 tahun lalu.
Kemajuan yang dicapai oleh Pelabuhan Pasir Gudang bukan kecil tetapi ia kini berada dalam kalangan pelabuhan utama serantau dengan kemudahan tangki penstoran minyak terbesar di dunia. PTP pula, walaupun masih muda adalah hab pelabuhan penghantaran yang menguasai 90 peratus pengendalian kargo.
Dengan trek rekod cemerlang itu, Seaport Terminal adalah pengendali pelabuhan kontena utama di Malaysia, kedua di Asia Tenggara, ke-17 di dunia dan pelabuhan yang menjadi pilihan syarikat-syarikat kapal di dunia.
Malah, syarikat itu juga turut terlibat dalam pengurusan pelabuhan di luar negara terutama di negara-negara Arab.
Jika Seaport Terminal mempertaruhkan kehebatan mereka sebagai pemain industri pelabuhan dalam pengambilalihan itu, apakah pula yang disandarkan oleh Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang?.
Pengambil alihan Pelabuhan Pulau Pinang bukan isu kecil seperti membeli kedai runcit kerana sedar atau tidak bisnes pelabuhan memberi kesan kepada ekonomi secara keseluruhannya.
Modal sahaja tidak mencukupi seandainya ia tidak seiring dengan pengetahuan, kepakaran dan kebolehan mengurus pelabuhan.
Satu lagi persoalan, mampukah Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang itu menanggung beban hutang berjumlah RM1.3 bilion, selain menyuntik modal baru.
Seandainya jawapannya ini diangguk, timbul persoalan lain - institusi kewangan manakah yang mahu mengambil risiko itu?.
Subscribe to:
Posts (Atom)